Alhamdulillah, setelah lama saya menyepi dari menulis berkenaan Jurnal Strategi Tempur, maka ingin saya sambung kembali pada prinsipal kedua yang disebut oleh Sun Tzu dalam karya militari agungnya, The Art of War.
Prinsipal kedua yang disebutkan beliau adalah, Langit atau Heaven.
Kata Sun Tzu ;
Heaven signifies night and day, cold and heat, times and seasons.
Langit yang dimaksudkan bukanlah syurga. Ia merujuk kepada keadaan cuaca, waktu, dan pertukaran musim.
Komander yang bijaksana akan sentiasa mempertimbangkan keadaan cuaca sebelum memasuki medan pertempuran. Cuaca yang panas terik boleh menjadikan angkatan musuh yang kuat kepada lemah, hanya disebabkan kepanasan melampau. Taktik mengumpan musuh untuk melakukan maneuver yang tidak sepatutnya sehinggakan anggota pasukan menjadi keletihan adalah salah satu advantage yang diperolehi sekiranya komander tersebut pandai memanipulasi keadaan cuaca supaya memihak kepada dirinya.
Dalam dunia perniagaan, cuaca juga memainkan peranan yang besar. Antara impak terbesar yang dibawa oleh cuaca adalah seperti kenaikan harga barang - barang elektronik di pasaran Asia Tenggara setelah Thailand dilanda banjir besar yang menyebabkan kilang - kilang tidak dapat beroperasi dengan sempurna, dan juga munculnya penjual - penjual payung di LRT ketika hujan lebat.
Selain itu, keadaan cuaca juga turut mempengaruhi pergerakan dan psikologi manusia. Sebagai contoh, keadaan panas terik memungkinkan tidak ramai orang yang berada di jalanan untuk menjalankan urusan seharian mereka, namun begitu bagi mereka yang berada di jalanan, mereka akan berhadapan dengan keadaan dahaga yang mendesak. Dalam situasi ini, peniaga minuman adalah orang yang berada pada posisi terbaik.
Seterusnya, selain dari cuaca, faktor "Langit" juga turut menyebut tentang "times and seasons". Kitaran masa dan musim adalah sangat penting untuk diketahui. Dengan mengetahui kitaran masa, kita akan mendapat 'timing' yang tepat untuk menerjah masuk medan pertempuran. Sekiranya kita boleh mengagak kitaran masa matahari, maka kita boleh mengelak bertempur dengan musuh yang berposisi membelakangkan matahari, sekaligus mengelakkan askar kita dari menghadapi kepanasan secara berdepan, mengurangkan risiko silau dan meningkatkan jarak penglihatan. Bagi pihak musuh pula, posisi yang menghadap matahari akan mengurangkan kelebihan yang ada pada mereka dan menyebabkan moral tentera mereka jatuh lebih cepat akibat tekanan psikologi yang timbul.
Dalam perniagaan pula, mengetahui kitaran masa yang tepat adalah sangat perlu dan crucial, terutama bagi mereka yang trade di pasaran saham atau forex. Kesilapan timing, dan masuk market pada waktu yang silap pasti akan dibayar dengan harga yang mahal. Bagi yang menceburi perniagaan runcit pula, kesilapan memasuki pasaran dengan produk yang tidak kena waktu akan menyebabkan kerugian masa, dan mungkin juga kerugian modal akibat produk tidak laku, terutama sekiranya ia adalah perishable goods. Bayangkan sekiranya anda memborong durian pada hujung musim, di mana durian tersebut sudah rekah dan 'senyum-senyum' belaka, dan pelanggan sudah tidak lagi mahu membeli durian disebabkan lambakan durian telah berlaku di pasaran. Sudah pasti anda akan rugi besar.
Seterusnya, memahami kitaran musim juga adalah kunci kepada kejayaan dalam sesuatu pertempuran. Sebagai contoh, dengan kawasan muka bumi yang berlopak dan berlumpur, amatlah tidak elok jika kita memimpin pasukan menyeberanginya pada waktu musim hujan, tetapi adalah sangat elok jika kawasan tersebut diseberangi pada waktu kering / kemarau. Komander yang faham tentang kitaran musim akan sentiasa mengambilkira perkaitan antara musim dan kawasan yang perlu dilalui, terutama untuk mengelak dari keletihan terlampau atau terputus bekalan / perhubungan.
Begitu juga dalam perniagaan, mengetahui dan mengkaji tentang trend kitaran musim menyebabkan usahawan boleh menjangka trend pasaran seterusnya. Ini menyebabkan usahawan tadi berada 'one-step-ahead' dari pesaingnya dan sentiasa mempunyai produk yang tepat untuk dijual pada masa yang betul.
Pengalaman saya sendiri, akibat tersilap musim maka saya menanggung kerugian dari segi masa apabila produk yang saya ingin jual terpaksa ditangguh selama hampir 3 bulan kerana tidak ada buyer. Silap membaca trend pasaran menghukum saya sehingga terpaksa 'menangguhkan' pendapatan selama 3 bulan akibat barang tidak terjual. Inilah kepentingan sebenar mengetahui kitaran masa dan musim.
Diharapkan penghuraian saya dalam prinsipal yang kedua ini dapat memberikan manfaat kepada para pembaca. Saya juga menunggu peluang untuk berdiskusi dengan para pembaca. Tinggalkan komen anda di ruangan komen agar dapat kita berbicara.
Insya - Allah, akan bertemu lagi kita dalam posting seterusnya, prinsipal ketiga, Bumi (Earth).
Wallahua'lam.

No comments:
Post a Comment