Sejak zaman berzaman, ilmu peperangan telah diperkembangkan dengan begitu meluas oleh bangsa dan tamadun - tamadun agung di seluruh dunia. Ilmu peperangan ini meliputi teknik dan cara berlawan, persenjataan dan teknologinya, seni pertempuran, pengasasan dan pentadbiran organisasi ketenteraan dan juga strategi dan taktik peperangan.
Apabila memperkatakan tentang seni peperangan, pastilah ada di antara kita yang akan terbayang mengenai buku "The Arts of War" karangan ahli strategi ketenteraan dari China iaitu Sun Tzu. Karya strategi ketenteraan agung ini menjadi salah satu dari karya "wajib baca" terutama bagi mereka - mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia ketenteraan. Selain itu, ia juga telah diolah semula supaya prinsip - prinsip ketenteraan yang diketengahkan oleh Sun Tzu dapat pula dimanfaatkan oleh pembaca - pembaca yang bukan ahli ketenteraan. Kebanyakan dari prinsip ini telah digunakan dalam bidang perniagaan dan pentadbiran politik sama ada secara langsung atau tidak langsung.