Monday, May 27, 2013

Jurnal Strategi Tempur - The Arts of War - Bab 1 : Penilaian Terperinci dan Perancangan

Jurnal Strategi Tempur - The Arts of War - Bab 1 : Penilaian Terperinci dan Perancangan


Seperti yang dijanjikan, saya menyambung lagi posting mengenai The Arts of War dalam Jurnal Strategi Tempur. Bab I mengemukakan persoalan - persoalan yang kritikal berkenaan penilaian terperinci dan perancangan dalam memulakan gerakan ketenteraan.


Dalam Bab I ini, Sun Tzu mengatakan ;


  1. Seni peperangan adalah sesuatu yang amat penting kepada sesebuah negeri ( kerajaan  )
  2. Ianya adalah perkara yang menentukan hidup dan mati, kejayaan atau kebinasaan. Maka ianya merupakan subjek yang perlu diperhalusi dan diperincikan, dan tidak boleh pula ia diketepikan walau dengan apa alasan sekali pun
  3. Seni peperangan ini adalah tertakluk kepada 5 faktor prinsipal, yang sangat perlu diambilkira, sekiranya seseorang itu hendak membuat perhitungan mutlak terhadap keadaan medan tempur.
  4. 5 faktor prinsipal ini ialah : 
  • Undang - undang Moral (The Moral Law)
  • Langit (Heaven)
  • Bumi (Earth)
  • Komander (The Commander)
  • Kaedah dan Disiplin ( Method and Discipline)
Mari kita perhalusi pula setiap satu dari 5 faktor prinsipal yang dinyatakan di atas.

Undang - undang Moral (The Moral Law)

Sun Tzu berkata, "Undang - undang moral menyebabkan rakyat jelata akan bersetuju dan taat setia kepada pemerintah, yang mana mereka dengan rela hati akan menuruti arahan pemerintah, tidak kira sama ada nyawa mereka bakal terkorban kerana tindakan dan arahan pemerintah, tidak kira berapa besar pun mara bahaya yang akan ditempuh"

Antara kata - kata (quotes) yang terkenal dalam menambahkan pemahaman kita terhadap faktor pertama ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Wang Tzu (direkodkan oleh Tu Yu) iaitu ; "Tanpa latihan yang berterusan, para pegawai tentera akan menjadi gemuruh dan tidak berani berdepan dengan musuh, dan jeneral pula akan menjadi ragu - ragu dan tidak tegas dalam membuat keputusan pada masa yang genting "

Pada pendapat saya, Undang - undang moral ini lebih berkisar ke arah kekuatan pemerintah dalam menzahirkan "tekad rakyat jelata" (will of the people) dalam pemerintahan sesebuah negeri / negara. Rakyat yang taat setia sentiasa menganggap pemerintah sebagai pelindung dan penterjemah kepada tekad mereka. Sekiranya pihak pemerintah berjaya menawan minda dan hati rakyat jelata, tidak sukar bagi pihak pemerintah mendapatkan kesetiaan yang tidak berbelah - bahagi, terutama dalam isu mempertahankan kedaulatan negeri / negara dari ancaman pengkhianat atau penceroboh.

Mentaliti "bersetia kepada pemerintah, negeri dan negara" ini dapatlah kita katakan sebagai semangat patriotisme yang disemai ke dalam jiwa rakyat sesebuah negeri / negara. Semangat sayangkan tanah tumpah darah kita adalah sangat penting terutama dalam menghadapi serangan musuh yang bertali arus, tidak kira secara langsung atau tidak langsung.

Seni peperangan langsung dan tidak langsung ini telah pun wujud sejak dari zaman - berzaman, sama ada kita sedar atau tidak. Peperangan yang terutama yang senantiasa dijalankan segenap masa adalah peperangan tidak langsung, yang tujuannya adalah untuk menawan minda penduduk sesebuah negeri / negara. Dengan menawan minda dan hati rakyat di sesebuah kerajaan, tentera penakluk tidak perlu menghantar bala tentera yang besar, dapat mengurangkan kos perbelanjaan peperangan dan yang paling penting, rakyat negeri tersebut bersedia untuk menerima tentera penakluk sebagai "Penyelamat dan Pembebas" mereka.

Tidak dapat tidak dikatakan bahawa prinsipal yang pertama ini dapat menentukan jatuh bangun sesebuah pemerintahan, terutama apabila ianya melibatkan tekad rakyat jelata.

Terlalu banyak contoh - contoh klasik yang kita boleh ambil sebagai pedoman, apabila kita menyebut tentang undang - undang moral yang melibatkan tekad rakyat dan kesetiaan kepada pemerintah. Antara contoh yang boleh kita guna pakai adalah penubuhan negara Israel. Mengapakah saya memilih Israel sebagai contoh ? Mudah saja.

Pertama ; Negara Israel dibina oleh kaum Yahudi yang terdiri dari pelbagai bangsa, keturunan dan kerakyatan serta budaya. Persamaan mereka hanyalah mereka berdarah Yahudi dan mereka merupakan kaum buangan yang tidak bernegeri.

Kedua ; Atas semangat "bangsa Yahudi", mereka mengetepikan kepentingan keturunan, bangsa, kerakyatan dan budaya lainnya yang mencorak hidup mereka, supaya mereka dapat bersatu demi mencapai matlamat untuk membina sebuah negara Yahudi dibawah pemerintah bangsa Yahudi, yang akan mengutamakan orang Yahudi.

Ketiga ; Ketaatan terhadap pemerintah Yahudi yang berkaliber, yang dapat menyatu padukan semangat dan tekad orang Yahudi, untuk membina negara Israel, tidak kira dengan apa kos sekalipun.

Keempat ; Perhubungan yang terbuka di antara pemerintah dan rakyat, yang mana rakyat boleh menyelar tindakan pemerintah yang dianggap tidak sesuai dengan tekad rakyat jelata, dan kekuasaan pemerintah yang boleh menghukum pengkhianat dan pembelot yang cuba meruntuhkan aspirasi rakyat.

Kelima ; Sifat patriotisme terhadap negara dan tanah tumpah darah yang tidak berbelah bahagi, terutama apabila berhadapan dengan isu keselamatan. Mereka akan melindungi Israel dengan apa cara sekalipun, asalkan Israel tidak berpecah belah atau ditakluk oleh pihak lawan, tidak kiralah sama ada mereka harus mati, atau musuh mereka dimusnahkan sehingga tidak ada kesan.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang penubuhan negara Israel, rujuklah kepada buku - buku yang menceritakan tentang Israel dibawah pemerintahan Perdana Menteri pertama mereka, iaitu David Ben - Gurion dan pasukan Haganah (pasukan paramilitari Israel yang pertama).

Selain dari penubuhan negara Israel, contoh lain yang boleh kita kaitkan dengan sifat patriotisme dan tekad rakyat adalah apabila kita membaca teks sewaktu era "Sengoku Musou" (Warring Periods) sewaktu zaman feudal di Jepun. Pada era ini, negara Jepun terbahagi kepada negara-kota (City States) yang diperintah oleh "daimyo" masing - masing. Sewaktu era ini, pasukan paling elit dan menjadi legenda di atas sifat taat setianya kepada daimyo adalah pasukan samurai. Berpaksikan maruah dan kehormatan, pasukan samurai ini akan mempertahankan negara-kota mereka supaya tidak dapat ditaklukkan oleh daimyo dari kota lain. Mereka akan melakukan apa sahaja yang terdaya untuk memastikan kota mereka tidak ditakluk, dan sekiranya mereka gagal, mereka akan sedaya upaya untuk memastikan yang diri mereka tidak ditawan pihak musuh, sehinggakan mereka membunuh diri agar kerahsiaan, maruah dan kehormatan dapat dipelihara dari hidup dengan kehinaan sebagai tawanan perang.

Mentaliti seperti inilah yang amat ditakuti oleh tentera penakluk, dan mereka akan sedaya upaya untuk menghancurkan semangat taat setia ini terlebih dahulu, sebelum mereka menghantar pasukan tentera mereka untuk menceroboh. Dalam dunia peperangan moden, kita lihat kejatuhan Iraq, Afghanistan dan yang terbaru di Syria adalah hasil percaturan perang saraf musuh - musuh mereka, sehingga wujudnya puak "pemisah" ataupun "pejuang pembebasan (freedom fighters)" yang menggerakkan agenda masing - masing.

Selalunya, kelemahan dan kepincangan pemerintah dalam menguruskan negeri / negara menjadi faktor utama timbulnya bibit - bibit penentangan. Kelemahan dalam mendengar dan mentafsir tekad rakyat menyebabkan ketidak puas hatian rakyat terhadap pemerintah yang akhirnya diterjemah kedalam perjuangan revolusi dan bersenjata. Ditambah pula dengan keadaan hari ini dimana ada pihak ketiga yang sengaja memberi bantuan agar dapat memperoleh keuntungan setelah pemerintah yang sedia ada ditumbangkan dan hasil bumi negeri / negara dapat pula diratah oleh pihak ketiga ini, tidak hairanlah sekiranya keadaan kucar-kacir semakin menjadi - jadi.

Akan tetapi, undang - undang moral ini dapat diperkuatkan sekiranya pemerintah menjadikan diri mereka teladan kepada rakyat jelata. Ia juga amat mudah dimusnahkan, apabila pemerintah leka dengan kekuatan mereka sedangkan mereka lemah, dan rakyat lalai kerana kemewahan negeri dan kesenangan untuk hidup menjadi matlamat utama dalam mentaliti mereka.

Sikap kebergantungan rakyat terhadap pemerintah akan muncul, dan apabila minda rakyat terdidik dengan kemewahan dan kesenangan untuk meminta - minta, ianya akan dijadikan paksi untuk memeras ugut pemerintah supaya akur dengan "kehendak rakyat". Bukan sahaja sikap ini akan meruntuhkan negara, ia juga akan menghancurkan sama sekali jatidiri dan sikap survival bangsa-negara yang telah dijangkiti penyakit minda ini. Rakyat seharusnya menjadi pemandu kepada pemerintah, dan pemerintah itu menjadi kenderaan yang memacu negara ke takah yang lebih tinggi. Tetapi apa yang kita lihat hari ini sudah jadi sebaliknya, di mana rakyat memeras ugut pemerintah dengan permintaan yang bukan - bukan dan tidak masuk akal, hanya kerana mereka dibuai keindahan yang menyatakan mereka sudah menjadi "tuan besar". Sama ada sedar atau tidak, kita hanya menjadi "tuan besar" selagi kita memiliki negara sendiri yang berdaulat dan merdeka. Apabila bila kita ditakluk dan negara kita dihancurkan, maka kita hanyalah "hamba abdi" kepada si penakluk.

Diharapkan penghuraian saya pada prinsipal yang pertama ini dapat membuahkan pemikiran yang bernas, dan menambahkan lagi pengetahuan para pembaca.

Insya - allah bertemu lagi kita dalam posting yang seterusnya, iaitu prinsipal kedua, "Langit (Heaven)".

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...