Thursday, May 23, 2013

Jurnal Strategi Tempur : Pengenalan


Sejak zaman berzaman, ilmu peperangan telah diperkembangkan dengan begitu meluas oleh bangsa dan tamadun - tamadun agung di seluruh dunia. Ilmu peperangan ini meliputi teknik dan cara berlawan, persenjataan dan teknologinya, seni pertempuran, pengasasan dan pentadbiran organisasi ketenteraan dan juga strategi dan taktik peperangan.

Apabila memperkatakan tentang seni peperangan, pastilah ada di antara kita yang akan terbayang mengenai buku "The Arts of War" karangan ahli strategi ketenteraan dari China iaitu Sun Tzu. Karya strategi ketenteraan agung ini menjadi salah satu dari karya "wajib baca" terutama bagi mereka - mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia ketenteraan. Selain itu, ia juga telah diolah semula supaya prinsip - prinsip ketenteraan yang diketengahkan oleh Sun Tzu dapat pula dimanfaatkan oleh pembaca - pembaca yang bukan ahli ketenteraan. Kebanyakan dari prinsip ini telah digunakan dalam bidang perniagaan dan pentadbiran politik sama ada secara langsung atau tidak langsung.



Memandangkan saya merupakan seorang pembaca dan peminat karya - karya militari, maka ingin pula saya berkongsi tentang pembacaan saya dari judul - judul yang berkenaan supaya dapatlah diperpanjangkan akan manfaat - manfaat yang boleh didapati dari hasil pembacaan tersebut. Tidak pula saya mengatakan yang saya ini pakar kerana saya tidak pernah dilatih atau bertugas sebagai tentera, melainkan saya mengaplikasikan pembacaan saya itu ke dalam perniagaan saya, yang mana boleh.

Saya juga berharap dengan berkongsi maklumat ini, maka peminat - peminat karya ketenteraan dapat pula membahaskan 'effectiveness' sesuatu prinsip itu supaya kita dapat menambahkan ilmu dan meluaskan minda. Barangkali tidak ramai yang berminat, tetapi saya pasti, bagi yang berminat tidak akan melepas peluang untuk berbincang mengenai karya agung strategi tempur ini. Insya - Allah, selepas "The Arts of War" saya akan cuba mengetengahkan strategi tempur tentera Roman, Greek dan tamadun - tamadun lainnya, sekiranya saya beroleh maklumat mengenai perkara ini. Para pembaca yang mempunyai maklumat juga digalakkan berkongsi dengan saya, agar kita semua dapat menambah ilmu pengetahuan.

Sebelum saya memulakan Jurnal Strategi Tempur ini, mohon difahami bahawa saya adalah pembaca dan peminat karya ketenteraan, dan bukannya seorang ahli militari. Apa yang saya tulis adalah berdasarkan pembacaan, dan praktikalnya selalu berlaku dalam perniagaan yang saya jalankan. Maka sebarang khilaf dalam penulisan saya harap diperbetulkan dengan fakta, dan dihujahkan pula dengan bijaksana.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jurnal Strategi Tempur : Pengenalan

Sun Tzu : The Arts of War 



The Arts of War adalah sebuah karya mengenai pengurusan konflik, memenangi peperangan dan falsafah - falsafah dalam peperangan. Karya ini ditulis oleh Sun Tzu, atau nama asalnya Sun Wu, seorang strategis, ahli falsafah dan jeneral yang terkenal dari era Dinasti Chou. Karya yang pada asalnya ditulis pada kepingan - kepingan buluh ini mempunyai 13 bab, bermula daripada "Details Assesment and Planning" hinggalah kepada "Intelligence and Espionage". Pembicaraan mengenai falsafah ketenteraan dan aplikasi strategi pada keadaan masa nyata ini telah ditulis dan dilengkapkan pada 476 - 221 BCE (mengikut pendapat umum) iaitu pada era yang digelar "Warring States Period".

13 Bab yang dibicarakan dalam The Arts of War ialah :


  1. Detail Assesment and Planning
  2. Waging War
  3. Strategic Attack
  4. Disposition of the Army
  5. Forces
  6. Weaknesses and Strength
  7. Military Maneuvers
  8. Variations and Adaptability
  9. Movement and Development of Troops
  10. Terrain
  11. The Nine Battlegrounds
  12. Attacking with Fire
  13. Intelligence and Espionage
13 bab yang ditulis ini bukan sahaja meliputi strategi ketenteraan, tetapi turut melibatkan pengurusan dan organisasi tentera, kebolehupayaan bertempur, disiplin, aturan perlaksanaan, strategi dan taktikal, penilaian bentuk muka bumi dan juga perang saraf.

Insya - allah saya akan cuba berkongsi satu bab demi satu bab berkenaan "The Arts of War" sehinggalah selesai 13 bab yang ada. Semoga kita beroleh manfaat ilmu pengetahuan dari pembacaan dan perbincangan kita. Jumpa lagi di posting yang akan datang !



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...